Monday, May 15, 2017

Welcome abroad Sofiyyah!


Bismillah, arrahman arrahim.

معنى إسم صفية في قاموس معاني الأسماء

صَفِيَّة
اسم علم مؤنث عربي، 
معناه: المختارة، الخالصة من كل عيب، الناقة الغزيرة اللبن، النخلة الكثيرة الثمر. والصفية من الغنائم: ما يختاره القائد لنفسه. وصفية من الأسماء المحببة عند العرب لقدمه، وأهمية من كان يتسمَّى بهذا الاسم، مثل: صفية بن عبد المطلب عمة رسول الله (صلى الله عليه وسلم) ، وصفية بنت حُيي إحدى زوجات النبي (صلى الله عليه وسلم) ، وصفية بنت عمر بن الخطاب.

Makna Sofiyyah dalam kamus maksud nama-nama:

Terpilih,
Tertapis daripada segala keaiban,
Susu unta yang berat,
Pokok kurma yang banyak buahnya.
Dan juga bermaksud rampasan perang yang istimewa yang dipilih oleh ketua tentera untuk menjadi miliknya.

Dan Sofiyyah juga nama yang disukai oleh orang Arab lama atas kepentingan nama ini yang menjadikan menyamakan dengan nama ini, contohnya:
Sofiyyah bint 'Abdul Muttolib ibu saudara kepada Rasulullah sollallahu alayhi wassalam,
Sofiyyah bint Huyay salah seorang isteri-isteri Nabi sollallahu alayhi wassalam, dan
Sofiyyah bint 'Umar ibn Al-Khattab,

(Namun saya tak pasti siapakah Sofiyyah bint 'Umar ibn al-Khattab dalam sirah Rasulullah)

Sofiyyah bint Abdul Muttolib

Beliau adalah ibu kepada Az-Zubair Al-'Awwam, salah seorang daripada 'asyara mubasysyirin, 10 orang yang yang dijanjikan syurga. Juga adalah adik beradik perempuan penuh kepada Hamzah ibn 'Abdul Mutollib, sayyidus syuhada'. Satu-satunya ibu saudara kepada Rasulullah (sollallahu alayh wassalam) yang dikenali memeluk islam dan berhijrah bersama para mukminin.

Berkeperibadian keras dan tegas, kuat dan kasar.

Setelah peninggalan suaminya Al-'Awwam, beliau terus membesarkan az-Zubair dengan keras. Apabila az-Zubair dibuli rakan sebayanya, bukan sahaja tidak dipujuk, malah diikat dan ditambah pukulannya. Sofiyyah r.anha mahu menjadikan anak-anaknya tidak terkalah dan terlawan, tidak akan menyerah kepada makhlul-makhluk Allah.

Lantas anak-anaknya mendahuluinya dalam keislaman, pada usia yang masih remaja.

***

Peperangan Khandaq.
Perang yang disifatkan Allah dalam surah al-Ahzab sebagai perang yang sangat sangat mengerikan dan mendebarkan para mukimin.
Mata terbeliak, hati sampai ke tekak, digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat!

Para wanita dan anak-anak tinggal di Madinah, bersembunyi dalam kubu perlindungan yang dijaga oleh Hasan ibn Tsabit r.ahu, atas arahan nabi sollallahu alayh wassalam.
Kemudian seorang lelaki Yahudi cuma menyelinap masuk, memanjat kubu tersebut sehingga kelihatan Sofiyah dan mereka yang sedang berlinding. Sofiyyah meminta Hasan r.ahu untuk bangun dan bunuh lelaki tersebut, namun beliau enggan.

Lantas Sofiyyah bingkas bangun lalu membunuh dan memancung kepala lelaki tersebut!

Sekali lagi Sofiyyah meminta Hasan ibn Tsabit untuk mengambil kepala lelaki tersebut dan mencampakkannya ke luar kubu, serta mengambil senjata dan kelengkapan lelaki tersebut. Sekali lagi beliau enggan.

Maka Sofiyyah, radhiyaAllah anha mengambil kepala tersebut dan mencampakkanya kepada mereka..

Kedengaran para Yahudi berkata di luar, "kami dah agak lelaki ini (iaitu Rasulullah sollallahu alayh wassalam) tak akan meninggalkan keluarganya begitu saja, tanpa meninggalkan seseorang untuk menjaga mereka".. Lalu mereka beredar.

Sofiyyah bint Huyay ibn al-Aktab

Sofiyyah bint Huyay merupakan anak kepada ketua kabilah Yahudi - Bani Nadhir di Madinah. Beliau dikahwini oleh Rasulullah sollallahu alayh wassalam selepas menjadi tahanan dalam peperangan Khaybar, setelah dilamar oleh Rasululllah sollallahu alayh wassalam dengan syarat beliau memilih untuk bersama islam.

Ayahnya, Huyay ibn al-Aktab, merupakan dalang kepada pengkhianatan Bani Nadhir kepada para mukmin di Madinah. Niatnya untuk membunuh Nabi sollallahu alayh wassalam teserlah melalui perkhabaran oleh malaikat Jibrail. Sebagai hukuman, mereka dihalau keluar daripada Madinatun Nabi. Pada mulanya diberikan tempoh, namun atas keengganan dan kedegilan mereka, Tentera mukmin mengepung mereka dan menghalau mereka secara paksa.

Kisah ini direkod melalui kata-kata Allah dalam surah al-Hasyr (59:2-3):

Dia lah yang telah mengeluarkan orang-orang kafir di antara Ahli Kitab - dari kampung halaman mereka pada julung-julung kali mereka berhimpun hendak memerangi Rasulullah. Kamu (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat), dan mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada mereka (dari azab) Allah. Maka Allah menimpakan (azabNya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam fikiran mereka, serta dilemparkanNya perasaan cemas takut ke dalam hati mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri (dari dalam) sambil tangan orang-orang yang beriman (yang mengepung mereka berbuat demikian dari luar). Maka insaflah dan ambilah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.

Dan kalaulah tidak kerana Allah telah menetapkan pengusiran (yang demikian buruknya) terhadap mereka, tentulah Ia akan menyeksa mereka di dunia; dan mereka pula akan beroleh azab seksa neraka pada hari akhirat kelak.

Atas dendam ini jugalah, Huyay ibn al-Aktab berkomplot bersama musyrikun Makkah, golongan munafiq Madinah dan juga kaum Yahudi lain (Bani Qainuqa' telah pun membelot Madinah lebih awal), maka berlakukan peperangan al-Ahzab. Peperangan pakatan musuh-musuh Islam.

Susulan itu berlaku pula peperangan dengan Bani Quraizah, kaum Yahudi yang juga telah membelot, dan mengkhianati Madinah dan orang-orang yang beriman. Maka terbunuh Huyay ibn al-Aktab.

Kemudiannya, peperangan di Khaybar. Dan di sini lah Sofiyyah - juga selaku isteri kepada pemimpin Khaybar yang terbunuh, Kinanah ibn Abi al-Huqayq - ditawan dan dilamar dan dinikahi Rasulullah sollallahu alayh wassalam...

***

Rasulullah sollallahu alayh wassalam tidak meninggalkan Khaybar sehinggalah Sofiyyah tamat haid. Dalam perjalanan pulang ke Madinah, lebih kurang 6 batu daripada Khaybar, Rasulullah sollallahu alayhi wassalam berhenti kerana ingin bersama hubungan intim bersama Sofiyyah, namun ditolak oleh beliau menyebabkan Rasulullah terasa marah. Sedangkan Sofiyyah tidaklah dipujuk apatah lagi dipaksa untuk menjadi isteri kepada Rasulullah; ini adalah pilihannya.

Setelah beberapa batu lagi, baru lah beliau menyiapkan diri untuk menjalinkan hubungan. Apabila ditanya atas keengganan beliau pada kali pertama, beliau menjawab:

"Aku takutkan keselamatan untukmu, sedang kaum Yahudi berdekatan dengan tempat itu.."

Inilah Sofiyyah bint Huyay.
Ayahnya mati dibunuh dalam peperangan Bani Qurayzah atas kebenciannya kepada islam.
Suaminya mati dibunuh dalam peperangan di Khaybar.
Tak lama selepas dinikahi oleh musuh utama kepada kedua-dua ayah dan suaminya, bukannya berdendam, sebaliknya beliau risaukan keselamatan nabi terakhir Rasulullah sollallahu alayh wassalam.

Ini tak lain tak bukan atas keimanan yang telah lama terpendam dan terpancar dalam hati Sofiyyah bint Huyay, ummul mukiminin, radhiyaAllah 'anha.

Sofiyyah binti Ahmad Fahmi

Sofiyyah lah yang dah terpilih oleh Allah ta'ala untuk hidup di dunia ini.
Semoga tertapis daripada segala keaiban dan kekurangan mommy dan daddy.
Susu atau kurma, unta atau pokok; semoga terus-menerus memberi manfaat kepada orang lain dan menjadi rahmah kepada alam sejagat.

Zaman akan datang sudah tentu lebih mencabar.
Berpegang teguh kepada islam bagaikan menggenggam bara api yang membakar.
Semoga Allah menguatkan iman Sofiyyah seperti keimanan Sofiyyah bint Huyay,
walaupun terpaksa berdepan dengan orang-orang terdekat dan kaum kerabat.

Semoga menjadi wanita, srikandi islam yang kuat seperti Sofiyyah bint Abdul Muttolib,
utuh berjuang di medan jihad.

Semoga menjadi pendidik anak-anak dan zuriat yang hebat,
seperti terdidiknya az-Zubair al-Awwam yang dijanjikan syurga,
mendahului ibunya dalam keislaman, dalam ujian dan kesakitan.

Allahuma aamin.

Welcome abroad Sofiyyah!

Dad
15 Mei 2017
Hari ke-20


Rujukan:
https://www.almaany.com/ar/name/صفية/
http://idealmuslimah.com/personalities/sahaabiyaat/192-safiyah-bint-abdul-muttalib.html
http://idealmuslimah.com/personalities/sahaabiyaat/194-safiyah-bint-huyay-ibn-akhtab.html

No comments: